Date: Mon, 17 Jan 2000 16:35:59 +0900
Subject: Perutusan Perdana Naib Canselor
 
 

Disertakan teks ucapan Perutusan Perdana Naib Canselor untuk rujukan anda:
---------------------------------------------------------------------------
------------------------------
Universiti Pada Masa Depan:
Antara Idealisme & Tanggungjawab
oleh
Dato' Prof. Ishak Tambi Kechik
Naib Canselor
 

Mukaddimah
 

Yang Berbahagia Timbalan-timbalan Naib Canselor,
Ahli-ahli     Senat     Universiti,     Dekan-dekan,     Pengarah-pengarah,
Penyelaras-penyelaras, Ketua-ketua jabatan, Pemimpin-pemimpin pelajar, staf
dan para pelajar yang dikasihi sekalian.
 

      Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terlebih  dahulu,  saya  memanjatkan  setinggi-tinggi  kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t., kerana atas limpah perkenan dan inayah-Nya, dapat sekali lagi saya  menyampaikan  Perutusan  Perdana kepada seluruh warga Universiti yangkita  sayangi  ini  untuk  tahun  ketiga  berturut-turut. Tujuan utama saya
ketika  memulakan  tradisi  ini dua tahun lalu ialah untuk saya selaku Naib Canselor   bertemu  dengan  seluruh  warga  Universiti,  bagi  menyampaikan perkara-perkara  yang  difikir  penting  dan berguna sebagai landasan dalam melaksanakan  tugas  dan  tanggungjawab  seharian.   Pada kali yang pertama dahulu,  Perutusan  Perdana  saya  telah  menumpukan  hampir  keseluruhannya kepada  usaha  Universiti Menghadapi Kegawatan Ekonomi serta Pengkorporatan Universiti.
     Pada  tahun  lalu pula, saya telah menggariskan tindakan-tindakan yang lebih   terperinci  dalam  usaha  menjayakan  rancangan  pengantarabangsaan Universiti  sebagai   permulaan kepada Sambutan Ulangtahun Ke-30 USM dengan
kupasan  saya  tentang temanya, iaitu Bersaing Di Peringkat Dunia: Komitmen Kita.
     Kali  ini,  saya  ingin  mengajak  saudara-saudari sekalian menghayati peranan kita selanjutnya dengan melihat kepada masa depan Universiti.  Kita harus  bersama-sama  meneliti  idealisme  sebuah  universiti sebagai sebuah Menara  Ilmu serta peranan dan tanggungjawab yang harus ditegakkannya dalam era  globalisasi  pada  abad  baru  ini.       Marilah  kita melihat dengan
seikhlasnya,  usaha  untuk  memastikan  USM terus mara, menjadi antara yang terbaik di dunia.
     Tanggungjawab  saya ialah untuk menyampaikan apa yang saya fikir perlu saudara-saudari ketahui, namun setakat mana  gagasan ini dapat dilaksanakan bergantung  kepada  interpretasi  saudara-saudari   untuk menzahirkannya di dalam  tindakan serta pemantauan yang sewajarnya. Ianya tidak akan bermakna apa-apa,  selagi  tidak  benar-benar  dihayati  dan  diterjemahkan ke dalam tindakan-tindakan susulan secara yang tersusun.
 

Selamat Tahun Baru, Selamat Hari Raya
Saudara-saudari sekalian,
     Terlebih  dahulu  saya  ingin  menyampaikan ucapan selamat tahun baru, selamat  menghadapi  abad baru dan selamat mengisi alaf yang serba mencabar ini  dengan  keberanian  baru, bagi menerokai lebih jauh kekuatan yang kita ada.    Kita  menyambut  kedatangan  abad  baru  dengan  semangat  Ramadhan al-Mubarak  yang penuh berkat dan kini melalui Syawal yang penuh kemuliaan, bulan untuk mengeratkan persaudaran dan saling memaafkan.  Terimalah ucapan Selamat  Hari Raya Aidilfitri daripada saya dan isteri serta seisi keluarga kepada saudara-saudari sekalian, seluruh warga Universiti.
     Marilah  kita abadikan semangat, disiplin dan kekuatan yang kita semai sepanjang  Ramadhan  yang  lalu, untuk terus memberikan yang terbaik kepada Universiti  ini,  agama,  masyarakat,  bangsa malah negara yang kita cintai
ini. Bagi rakan-rakan kita yang akan menyambut Thaipusam pula, saya ucapkan selamat untuk semuanya. Begitu juga kepada mereka yang akan menyambut Tahun Baru Cina pada awal Februari nanti,  saya sampaikan ucapan Gong Xi Fa Chai. Semoga Tahun Baru ini membawa sinar yang bererti buat saudara semua.     Inilah  indahnya  masyarakat  pelbagai  budaya  kita, yang menceriakan kehidupan  di  sebuah negara yang sentiasa aman, damai dan sentosa, melalui persefahaman,  sikap  bertolak  ansur  dan  toleransi,  saling memahami dan integrasi  yang  sukar  dilihat  berjalan  dengan begitu baik di kebanyakan negara lain.  Inilah  indahnya tanah air kita!.
 

Ulangtahun Ke-30
Penghargaan
Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian,
     Tahun  lalu,  aturcara  kita begitu ketat dengan pelbagai program khas sempena  Ulangtahun  Ke-30 USM.  Pelbagai acara telah kita adakan, daripada persidangan,  seminar  dan  bengkel  tempatan mahupun antarabangsa, membawa kepada  majlis  penutupnya  bersama  Temasya  Gendang  Antarabangsa.   Kita berharap  gemanya  akan  terus  kedengaran, sejauh dan selama yang mungkin. Saya  sedar  dan  dapat  merasakan,  besarnya  komitmen yang diberikan oleh saudara-saudari  dalam  melaksanakan  pelbagai  acara  tersebut.   USM amat terhutang  budi dan berterima kasih kepada saudara-saudari semua.  Komitmen serta kerja berpasukan yang terserlah dalam menjayakan semua acara tersebut diharapkan  akan  terus  utuh  sebagai sumber kekuatan  bagi menempuhi masa
depan.
     Pada tahun lalu, kita telah berjaya menubuhkan Usains Holding Sdn. Bhd sebagai  syarikat  pertama yang ditubuhkan di bawah pengkorporatan. Kita juga  telah  berjaya melaksanakan kesemua yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia  Ketujuh.   Di  samping  itu,  USM  juga berjaya mendapat pelbagai pengiktirafan  termasuk  menerima  dua  Sijil MS ISO 9002 dan pengiktirafan agensi dan pertubuhan antarabangsa terhadap usaha Pusat-pusat Kecemerlangan USM.
     Semua  ini  menjadi  petanda  baik,  betapa  kesungguhan, komitmen dan kesediaan  kita  untuk  bersaing,  mampu       membuahkan kejayaan-kejayaan yang dapat  mengetengahkan  kita  ke  mata  dunia.  Pencapaian kita itu bukanlah semata-mata  untuk  dibanggakan, tetapi harus menjadi titik mula untuk kita terus ke hadapan.
     Seperti  kata  Ketua Setiausaha Negara, Y.Bhg. Tan Sri Abdul Halim Ali semasa  menutup  Perayaan  Ulangtahun  Ke-30 pada bulan November lalu, kita harus  menjadi  contoh  sebagai  model peranan atau role model kepada orang lain.  Kita perlu terus tunjukkan kemampuan sebenar kita dan berani membuat penerokaan  baru.   Kita perlu yakinkan pelbagai sektor masyarakat terhadap kepakaran yang ada pada kita.
 

Idealisme & Tanggungjawab
Universiti
 

Idealisme Universiti
Saudara-saudari sekalian,
     Sejak  30  tahun  yang lalu, USM tegak di atas keteguhan idealismenya,
yang  sangat  memberikan  penekanan  kepada  usaha  penerokaan  ilmu secara
berterusan.    Saya  sedar,  wujudnya  banyak  pandangan  yang  ada  dengan
melihatnya dari sudut yang sangat ideal. Saya fikir, idealisme seperti mana
yang  dizahirkan  dalam  falsafahnya  pada  abad  kedua belas mahupun dogma
akademik    yang   semata-mata   berteraskan   mencari,   mempertahan   dan
mengembangkan  ilmu  pengetahuan  dan kebenaran semurni-murninya sebenarnya
sukar  untuk  wujud  sebegitu  ideal pada masa ini. Apatah lagi, untuk kita
sandarkan  semata-mata  kepada  falsafah  Socrates yang begitu teguh dengan
ilmu dan kebenarannya sehingga sanggup mati untuknya.
     Namun  begitu,  prinsip-prinsip  asas  yang  telah diletakkan terhadap
idealisme  sebuah  universiti mesti dipertahankan. Sebagai warga Universiti
dan  sebagai  ahli akademik, saya berpendapat idealisme universiti haruslah
bersandarkan  kepada  kata  pepatah  bahawa  di  mana bumi dipijak, di situ
langit dijunjung.
     Kita melihat apa yang dicetus dan dilakukan oleh orang lain, di tempat
lain  tanpa  perlu menyerapkannya bulat-bulat dalam sistem kita  sungguhpun
nilai-nilai  itu  sering  dianggap  bersifat  universal.  Hakikatnya ialah,
sistem   politik  dan  prinsip  kenegaraan,  nilai-nilai  masyarakat  serta
nilai-nilai  agama  dan  budaya  yang  ada di sini berbeza dengan amalan di
tempat  lain.  Saya  tegaskan  hal  ini awal-awal kerana saya sedar, adanya
mereka  yang  amat  berpegang kepada idealisme tertentu untuk merasionalkan
apa  yang dilakukan, tanpa langsung  melihat kepada keadaan keseluruhannya.
     Saya  mencadangkan  agar  perkara-perkara  berikut diberikan perhatian
yang serius, selaras dengan idealisme yang ingin kita pertahankan, iaitu:
-     Pertama,  usaha penerokaan ilmu yang berterusan, harus tersemat kukuh
di  dalam  setiap  diri dan sanubari mereka yang cintakan ilmu. Budaya yang
ingin  kita  terapkan  di  sini  ialah budaya ilmu dan budaya akademia yang
mencintai  nilai-nilai akademik yang berpaksikan kepada usaha mencari ilmu,
menerokainya  tanpa  henti dan mengem- bangkannya sejauh yang mungkin.  Ini
bermakna,   ianya  melibatkan  usaha  intelek  untuk  menyelidik,  menulis,
membincang,  menyunting, menerbit serta menjalankan kegiatan-kegiatan  bagi
memantapkan sesuatu bidang ilmu;
-     Kedua  ialah,  usaha  mencari  kebenaran  dan memantapkan pengetahuan
secara  berterusan.  Mencari  kebenaran  dan  memantapkan pengetahuan perlu
terus  ditegakkan  dan  berjalan  seiiring dengan aktiviti penerokaan ilmu.
Terasnya  ialah  untuk  melahirkan  masyarakat  yang  menjalankan  aktiviti
kehidupannya  berasaskan ilmu pengetahuan yang cepat berkembang.   Apa yang
ditemui  hari  ini, mungkin tidak lagi relevan esok hari. Apa yang dianggap
benar  dan mantap pada sesuatu masa, mungkin menjadi ketinggalan pada suatu
masa yang lain.
-     Ketiga,  melihat  kebebasan  akademik  dengan penuh tanggungjawab dan
prihatin.  Kita  harus  menerima hakikat bahawa, dalam kehidupan ini, tidak
ada  konsep  kebebasan mutlak dalam apa juapun termasuk dunia akademik yang
sering menghendaki kupasan kritikal dibuat dalam hampir semua bidang. Dunia
akademik    juga   terikat   dengan   pelbagai   faktor  lain,  terutamanya
tanggungjawab  terhadap  negara  dan  masyarakat.  Apalah ertinya kebebasan
akademik  yang dilaungkan, jika ianya membawa kemudaratan kepada masyarakat
dan  negara.   Di  mana-mana  juapun,  kebebasan  yang diberi tetap terikat
dengan  pelbagai kepentingan lain, baik oleh pihak yang menguasai institusi
melalui   kuasa   yang   tertentu   mahupun   melalui  pemberian  dana.  Di
universiti-universiti  yang  terdapat  di  Amerika  Syarikat mahupun United
Kingdom yang didakwa mempunyai kebebasan pun, sebenarnya tidak pernah bebas
dalam erti kata yang mutlak.
     Bagi  saya,  untuk mengatakan bahawa kita tidak bebas pun, tidak betul
juga. Jika dilihat dari beberapa sudut yang tertentu, kita sebenarnya bebas
melakukan  banyak  perkara.  Kita bebas  menerokai ilmu yang menjadi bidang
kekuatan kita. Kita juga bebas untuk mengemukakan pandangan yang berasaskan
kajian  kita serta berbincang dan berdebat dengan rakan-rakan akademik kita
dan  mereka  lain  yang  dianggap  mahir.  Kita  diberikan  kebebasan untuk
menjelajah ke mana sahaja dalam menerokai ilmu atau menghadiri persidangan,
bertemu  tenaga pakar dan lain-lain lagi. Jangan tafsirkan prosedur sebagai
kongkongan, kerana prosedur yang dibuat adalah untuk menjamin ketelusan dan
kecekapan pengurusan. Prosedur boleh dibaiki, jika perlu.
     Tentulah  kita  tidak  bebas mengkritik orang lain, semata-mata kerana
kita percaya kita sahaja yang betul. Kita juga tidak bebas untuk memberikan
pandangan-pandangan  yang  boleh  memecah  belahkan masyarakat. Apatah lagi
kebebasan untuk mendedahkan hal-hal yang boleh mengancam keselamatan negara
dan  masyarakat.   Prinsip  kenegaraan dan prinsip kemasyarakatan yang kita
pegang  harus  diberi  keutamakan dalam apa jua tindakan kita. Dalam Islam,
prinsip   kemashlahatan  masyarakat  mendepani  apa  jua  usaha  lain  yang
dilakukan, hatta mengatasi kepentingan peribadi.
 

-     Keempat,  universiti  sebagai  sebuah  komuniti  ilmu. Sebagai sebuah
komuniti  ilmu,  kita  perlu  pertahankan maruah dan martabatnya. Maruahnya
terletak  kepada  kecemerlangan  komuniti  akademik  yang  ada. Martabatnya
terletak  kepada  penghormatan dan pengiktirafan yang diterima serta sejauh
mana  kita  mampu  menyumbang kepada masyarakat seluruhnya, baik masyarakat
setempat mahupun masyarakat sejagat.
     Sebagai  sebuah  komuniti  ilmu,  kita sepatutnya menjadi rujukan bagi
mereka  yang  dahagakan  ilmu serta mereka yang perlukan kepakaran tertentu
yang kita ada. Komuniti ini keseluruhannya  perlu dihormati dengan ilmu dan
kejaguhannya.  Mereka  yang  berilmu dianggap tinggi kedudukan keilmuannya,
tinggi  sahsiahnya, tinggi peribadinya dan sentiasa akur kepada nilai-nilai
sosial yang ada.
     Orang  yang  berilmu akan   berusaha dengan penuh hikmah dan bijaksana
membetulkan  apa yang dianggap bertentangan dengan nilai kebenaran.  Mereka
yang  berada  dalam  komuniti ilmu tidak akan mudah bertelagah dan mendabik
dada dengan membelakangkan adab budaya sebagai orang yang berilmu.
     Dalam  Islam,  mereka  yang  berilmu  perlu  sentiasa tawadhuk. Mereka
sentiasa  merasa  diri  serba kekurangan, fakir, kerana percaya bahawa ilmu
yang  ada,  hanya  setitis daripada luasnya lautan ilmu Tuhan.  Kerana itu,
orang yang berilmu sentiasa cinta dan dahagakan  ilmu yang membawanya untuk
begitu cintakan khaliknya.
     Orang  yang  berilmu tidak mudah melatah dengan sesuatu perkara, tanpa
menyelidikinya   untuk   mencari   kebenaran,   tanpa   prasangka.    Untuk
mempertahankan  satu  komuniti  ilmu,  serta   menyuburkan  idealisme- nya,
termasuk  kebebasan  akademik,   kita harus rasional dalam tindakan.  Orang
akan  menghormati  kita,  jika  kita  juga  tahu  menghormati  mereka. Kita
dipandang  tinggi,  jika kita sentiasa berpegang kepada nilai keilmuan yang
kita  ada,  dan  miliki  keperibadian  yang  tinggi yang dizahirkan melalui
tindakan- tindakan yang bersopan santun san sempurna.
-     Kelima,  universiti sebagai sebuah komuniti global. Kita berada dalam
jagatraya yang begitu luas dan menjadi sebahagian daripada anggotanya. Kita
perlu  meneliti  nilai-nilai  yang  ada dan dipegang oleh orang lain secara
global untuk menghadapi persaingan dengan menggunakan kayu ukur yang wajar,
jelas  dan  tuntas.  Jika  kita  ingin  menjadi  yang  terbaik dalam bidang
kepakaran  kita,  kita  mesti  tahu,  kekuatan orang lain dalam bidang yang
sama,  yang  berada di sekeling kita waima di tempat lain. Hatta, jika kita
satu-satunya  pakar  yang ada dalam sesuatu bidang itupun, kita masih perlu
menerokai  ilmu  agar kita tidak tertinggal di belakang kelak.   Kita perlu
sensitif  dengan  apa  yang  terjadi  di  sekeliling  kita, bersabit dengan
keilmuan  kita.   Kita  perlu  terokai  teknologi yang bertaraf dunia. Kita
perlu mempunyai jaringan komunikasi yang rapat dengan mereka yang berada di
mana jua.  Kita harus bergerak pantas.
 

Persepsi & Persoalan Semasa
Saudara-sauadari sekalian,
     Saya  telah  menyentuh  hampir  semua  perkara  yang  berkaitan dengan
idealisme   dan   tanggungjawab  kita.  Perkara-perkara  seperti  persoalan
mediocrity  dalam  akademia, kecemerlangan dan profesionalismenya akan saya
sentuh  kemudian.  Saya  ingin  menarik  perhatian saudara-saudari terhadap
beberapa perkara lagi.
     Pertama  ialah  persepsi dan pandangan orang terhadap kita selama ini.
Sebahagian  dari persepsi dan pandangan orang terhadap kita  mungkin benar,
manakala  sebahagian  lagi  perlu  kita  melihatnya  dengan  lebih  teliti.
Misalnya, kita sering dikatakan tidak berpijak di bumi nyata. Apa yang kita
katakan,  dipandang  sebagai  begitu  asing,  janggal,  keterluan dan tidak
mewakili  apa  yang  sepatutnya.  Sebahagiannya dianggap anti-establishment
dan  berarus  songsang. Kualiti pendidikan dan ilmu pengetahuan yang diberi
kepada  para  pelajar,  dikatakan  gagal  memenuhi keperluan bakal majikan.
     Ianya,  bukanlah  perkara  yang  luar  biasa.  Teguran-teguran  begini
menunjukkan   keprihatinan  dan  harapan  masyarakat  terhadap  universiti.
Silapnya  ialah,  apabila  ada  di  antara  kita yang benar-benar melakukan
tindakan-tindakan  yang  begitu  meragukan. Apabila diberi peluang memimpin
dalam  komuniti  luar,  tindakan-tindakan  yang  diambil,  dilakukan dengan
tergesa-gesa sehingga menimbulkan kecurigaan.
     Ada  ketikanya  pula, terdapat individu yang berjuang melalui platform
rasmi  persatuan  atau  NGO   kerana  tidak puas hati terhadap sesuatu yang
bersifat  peribadi.  Kekecewaan  daripada  masalah  kenaikan pangkat, tidak
diberikan   jawatan  tertentu  dan  sebagainya  lagi,  kadang-kadang  turut
mewarnai  dunia  akademia kita.  Ianya terbawa-bawa sehingga kepada hal-hal
yang  menyentuh  profesionalisme  dan  menjejaskan persepsi  orang terhadap
kita.  Ini  belum  lagi  dilihat kepada perbuatan lobi melobi untuk jawatan
tertentu,  serta  sanggup  menyebarkan fitnah untuk menjatuhkan orang lain.
Semuanya  berlegar  di  luar  daripada  kecemerlangan  akademik yang tulen,
menjadi  barah  yang  jika  tidak  diubati  awal,  akan  hanya  mencetuskan
persekitaran kampus  yang kurang menyenangkan.
 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
     Perkara  kedua ialah bersabit dengan  perkara yang lebih sensitif bagi
kebanyakan  kita,  penyertaan  kita  dalam  politik.  Ada di kalangan staf,
malah  juga pelajar,   didakwa terlibat secara langsung dalam kempen-kempen
politik.   Saya  juga  dimaklumkan, terdapatnya indidividu yang tertentu di
kalangan  kita  yang  bercakap dengan sewenang-wenangnya, tanpa segan silu,
dan  menggunakan  logo  dan  label  tertentu bagi menunjukkan penyertaannya
menyokong  sesuatu  pihak.  Bayangkan,  apa akan jadi apabila lawannya dari
kumpulan yang berbeza juga melakukan tindakan yang sama.
     Pada hemat saya, sebagai orang yang berilmu, utamakanlah kemashlahatan
masyarakat  dan  komuniti  akademik   daripada  kepentingan  diri  sendiri.
Sentiasalah  bersikap  bijaksana dan membuat sesuatu penilaian dengan penuh
ikhlas   dan   objektif   sebelum  mengambil  sesuatu  tindakan.  Janganlah
salahgunakan  kebebasan  yang  ada,  kerana  orang  lain juga boleh lakukan
perkara   yang   sama.    Sayangilah  komuniti  akademik  ini  dan  jagalah
kesentosaannya.   Pegangan  dan  keyakinan  politik  yang  keterlaluan  dan
bersikap  taksub,  sering  menimbulkan  masalah,  termasuklah perpecahan di
kalangan   masyarakat   dan   anggota  organisasi.   Saya  tidak  bermaksud
menyinggung mana-mana pihak, tetapi bersikap wajarlah demi Menara Ilmu ini.
     Kita  akan  menyiasat  dengan terperinci apa yang terjadi, terutamanya
dengan  adanya  aduan  dan  dakwaan-dakwaan  yang dibuat. Tindakan-tindakan
susulan,  akan  diambil  dengan  sewajarnya.  Dalam  suasana sekarang, saya
berharap,  pegangan  politik  tidak  wajar  digembar-gemburkan  lagi.  Kita
adalah  institusi  amanah  yang  menjadi tunjang kekuatan masyarakat.  Jika
institusi  ini  goyah  dan  tidak dipercayai lagi, ianya akan memberi kesan
mendalam  terhadap  dunia  ilmu  dalam  pembentukan  anak  bangsa yang akan
mewarisi kepimpinan negara kelak.
     Perkara  yang ketiga ialah berkaitan dengan kualiti siswazah yang kita
hasilkan.  Kita  mempunyai  bilangan pelajar yang begitu besar sekarang ini
iaitu  enrolmen kira-kira 23,000 orang pelajar, termasuk di Kampus Cawangan
Kelantan dan Kampus Cawangan Perak.
     Dijangkakan  pada  tahun  2005  nanti,  USM  akan  mempunyai kira-kira
29,0000  orang  pelajar  dengan  jangkaan  pertambahan  calon ijazah tinggi
mencapai  lebih  10,000  orang.   Dengan  bilangan yang begitu besar, serta
tempoh   pengajian   minimum  yang  singkat,  kita  perlu  terus  melakukan
penambahbaikan terhadap kualiti siswazah yang kita hasilkan. Ianya meliputi
kualiti  akademik,  kualiti  penyampaian kuliah, sahsiah diri dan lain-lain
lagi yang sehubungan dengannya.
     Begitu  juga  dengan  kemudahan prasarana yang  perlu dipertingkatkan,
terutamanya
bagi  menyediakan dewan-dewan kuliah yang dapat menampung bilangan pelajar
dan  jaringan  multimedia  yang  lebih  canggih.  Pada masa yang sama, saya
berharap  kita  akan  terus memanfaatkan apa yang ada dengan sebaik mungkin
untuk meningkatkan kualiti siswazah yang dihasilkan saban tahun.
 

Agenda Masa Depan

Pengkorporatan

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
     Saya  ingin menyentuh sepintas lalu tentang pengkorporatan universiti.
Saya  ingin  menegaskan  lagi  bahawa, pengkorporatan bukannya penswastaan.
Pengkorporatan, ialah bagaimana kita menguruskan universiti secara korporat
yang berteraskan budaya akademia dengan memberikan penekanan kepada kualiti
kerja,  kecekapan  dan keberkesanan kos serta lebih berakauntabiliti  dalam
melaksanakan   "core   business"  sedia  ada,  di  samping  terus  berusaha
menunaikan  amanah  dan  tanggungjawab  sosial yang dipikul. Kita juga akan
terus menggunakan sumber-sumber dan kepakaran yang ada secara optimum untuk
menjana  kewangan bagi memberikan nilai tambah kepada masyarakat, khususnya
pelajar.
     Ini   bermakna,   usaha   pengajaran-pembelajaran,   penyelidikan  dan
pembangunan serta pemantapan akademik masih menjadi teras utama universiti.
Kebajikan pelajar tetap terpelihara. Pembangunan sahsiah pelajar juga terus
diberi penekanan utama.
     Melalui  pengkorporatan,  kita menubuhkan syarikat yang dapat menjamin
pembangunan  universiti  dan  memastikan  keutuhannya  terpelihara.  Dengan
entiti  yang  berbeza  di  antara  syarikat  dengan  Unversiti,  kita dapat
mengelakkan  daripada  berlakunya  kes-kes  mahkamah  yang  boleh menggugat
kedudukan  Universiti,  jika  berlaku  hal-hal  yang diluar jangkaan.  Asas
utama  kegiatan  Usains  Holding  Sdn.  Bhd.   pula ialah ilmu pengetahuan,
sebagai   menyokong  usaha  mewujudkan  masyarakat  Malaysia  yang  berilmu
pengetahuan atau knowledge- based society.
     Pada  tahun  ini  Usains  Holding Sdn. Bhd. akan beroperasi sepenuhnya
sebagai  sebuah syarikat yang mempunyai entiti korporatnya sendiri.  Usains
Holding  Sdn.  Bhd.  akan   meneruskan tugas yang selama ini dilakukan oleh
Pusat  Inovasi  dan  Perundingan   iaitu  menjana  kepakaran  dan kemudahan
saintifik  untuk  menjalin kerjasama pintar dengan industri dan pihak-pihak
lain yang berminat.
     Pendekatan  kedua  yang  akan  diambil  ialah  melalui  usahasama atau
joint-venture  dengan  syarikat-syarikat  yang telah sedia beroperasi untuk
kegiatan-kegiatan  yang  berkaitan  dengan bidang kekuatan universiti. Kita
akan  bergerak  lebih  aktif  untuk  tujuan  tersebut.  Usaha sebegini akan
memberikan  kesan  yang  besar  kepada  staf akademik mahupun pelajar. Para
pensyarah  kita  sekarang  ini  berpeluang  untuk mendekati dunia korporat.
Pelajar  ijazah  tinggi pula berpeluang menimba pengalaman penyelidikan dan
persekitaran  kerjaya  daripada  syarikat-syarikat  ini.  Kita  juga  boleh
menyediakan  siswazah  yang dapat memasuki dunia kerjaya  dengan daya saing
yang lebih tinggi.
     Mereka  akan  lebih  mudah diserapkan dalam pelbagai sektor masyarakat
kelak  hasil pendedahan yang diberikan melalui konsep ini. Dengan munculnya
pelbagai  konsep  baru  dalam  dunia  korporat  pada abad baru ini, seperti
e-dagang  dan sebagainya lagi,  peluang tersebut  akan memberi nilai tambah
yang bermakna kepada para pelajar kita.
 

Hubungan USM - Industri

Saudara-saudari sekalian,
     USM  akan  terus  memantapkan hubungannya dengan pihak industri. Usaha
kita  untuk  menjadi  rakan  kongsi industri selama ini,  telah menunjukkan
hasil  yang  memberangsangkan.  Ceramah  dan  pertemuan  saya  dengan pihak
industri  melalui  beberapa  siri  Luncheon  Talk juga  telah memberi kesan
positif.  Pihak  industri kini lebih memahami peranan kita dalam dunia ilmu
ini  dan  apa  pula yang boleh mereka sumbangkan untuk kerjasama yang lebih
rapat.
     Namun  begitu,  saya  juga  berharap,  lebih banyak industri yang akan
tampil menyediakan peluang latihan kepada pelajar ijazah pertama dan tempat
untuk  penyelidikan  kepada  pelajar  ijazah tinggi, kerana tempat yang ada
masih kurang.  Pihak industri banyak membantu kita selama ini. Memandangkan
bilangan  pelajar yang bertambah, saya percaya, usaha mendapat lebih banyak
tempat  latihan  amali dan penyelidikan seperti ini akan menjadi agak sukar
pada masa depan. Kita akan berusaha untuk meyakinkan pihak industri bahawa,
memberikan  tempat  kepada  para pelajar kita, bukanlah usaha yang sia-sia.
Kedua-dua pihak akan menikmati faedah daripadanya secara "win-win situation
".  Saya  percaya,  para  pelajar kita yang telah melalui proses pendidikan
melalui  sistem yang ada, mampu untuk memberikan perkhidmatan kepada sektor
industri kelak.
 

Pemantapan Akademik

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
     Saya telah menyentuh dengan agak mendalam tentang idealisme universiti
di  awal  syarahan  ini.  Apa juga prinsip idealisme yang kita yakini, kita
harus  terjemahkannya  ke  dalam  tindakan.   Tidak  guna  kita  mengkritik
kebebasan  akademia  yang dikatakan kian terhakis, jika ianya hanya memberi
lesen  kepada  kita  untuk terus menggunakan kaedah yang jauh tertinggal di
belakang dalam usaha menyampaikan ilmu kepada pelajar kita.
     Begitu juga, tentulah tidak wajar untuk kita bercakap tentang keadilan
sosial   yang   ideal,  sedangkan  dalam  menunaikan  amanah  kerjaya  yang
dipikulpun kita masih gagal melakukannya dengan berkesan. Ini bermakna kita
tidak  berlaku  adil  kepada institusi dan pelanggan kita. Pensyarah adalah
pendidik, adalah juga seorang fasilitator serta merupakan seorang guru yang
dianggap pakar dalam bidangnya.  Sebagai seorang pendidik, tanggungjawabnya
yang  utama  ialah  mendidik pelajar seperti mana yang diamanahkan oleh ibu
bapa,  masyarakat  dan  negara.  Seorang  pendidik  harus  sabar, tabah dan
berusaha  memahami  masalah  pelajarnya. Dia akan membimbing dan memastikan
kejayaan pelajarnya pada masa depan.
     Sebagai  seorang  fasilitator,  dia  akan  menggerakkan pelajarnya dan
tanpa  jemu  membangunkan  potensi  diri  pelajar berkenaan sejauh mungkin.
Seorang  fasilitator  mengenali   pelajarnya,  untuk  dipandu  ke arah yang
sewajarnya.    Seorang fasilitator juga akan memberikan hujah dan idea yang
sejajar  dengan  kedudukannya  di universiti, serta menggalakkan pelajarnya
untuk  berfikir  secara  kritis  dalam  menerokai  ilmu.   Manakala sebagai
seorang  guru  dan pakar, dia seharusnya menguasai ilmu dengan mendalam dan
terus  berusaha untuk menerokainya tanpa putus asa, apatah lagi terhenti di
separuh  jalan.  Seorang guru dan pakar, akan sentiasa dirujuk dalam bidang
kepakarannya.
     Inilah   peranan   dan  amanah  yang  terpikul  di  bahu  kita  semua.
Pembangunan  masyarakat  dan  negara,  bergantung kepada usaha dan kejayaan
kita  melahirkan, anak-anak muda yang bersedia untuk berbakti kepada bangsa
dan  tanahairnya.  Kita  mesti  berusaha  agar   generasi  muda  kita terus
mencintai   ilmu,   memahami   faedah  ilmu  dan  dapat  bertindak  sebagai
orang-orang  yang berilmu dengan penuh adab dan susila sebagai pelapis yang
akan mewarisi Menara Ilmu ini nanti.
     Kerana  itu,  saya fikir, para pensyarah, baik yang muda mahupun telah
sekian  lama  berkhidmat  di  Universiti,  perlu mempunyai niat yang ikhlas
terhadap kerjayanya.  Seorang ahli akademik sepatutnyalah:
-    mempunyai minat yang mendalam terhadap kerjayanya,
-    tidak mudah membuat kenyataan yang tidak matang atau secara rambang,
-    bijak menguruskan masa untuk memajukan kerjayanya,
-      bijak   menggunakan   dan   memanfaatkan   kemudahan   yang  ada  di
sekelilingnya,
-    bijak  memanfaatkan peluang  yang ada dan
-     dapat  menguasai memanfaatkan Teknologi Maklumat (IT), multimedia dan
teknologi-teknologi  terkini  dalam  disiplin  ilmu  yang dikuasainya untuk
memantapkan tugasnya.
     Penguasaan   IT   misalnya   sekarang   ini  menjadi  sangat  penting.
Kajian-kajian  yang  dijalankan  menunjukkan  bahawa, majoriti pelajar kita
mahukan   para   pensyarahnya  menyampaikan  kuliahnya  secara  multimedia.
Penyampaian  kuliah  secara  konvensional, kini menjadi tidak relevan lagi.
Mereka  juga  inginkan pengajaran secara on-line dan menggunakan CAI.  Kita
akan  terus  membuat  kajian  dan  penilaian  seumpama  ini pada masa depan
sebagai usaha penambahbaikan kualiti akademik.
     Penilaian-penilaian  terhadap tugas pensyarah  juga akan dibuat secara
lebih  menyeluruh  pada  masa  depan untuk menilai keberkesanan penyampaian
kuliah  dan  amali  makmal.   Sehubungan  dengan  itu, Universiti bercadang     (klik sini)
menjadikan  penilaian  yang  dilakukan oleh para pelajar sebagai sebahagian
daripada  keperluan  untuk  pengesahan  dalam  jawatan dan kenaikan pangkat
pensyarah  pada  masa  depan.   Saya  percaya bahawa usaha seperti ini akan
mampu meningkatkan kualiti pengajaran di kalangan ahli-ahli akademik kita.
 

Tuan-tuan dan puan-puan,
     Saya  juga  ingin  menyentuh  tentang  peranan pensyarah sebagai "role
model".  Sebagai  orang  yang  dihormati  di  kalangan  pelajar, saya fikir
saudara-saudari adalah model peranan yang boleh diikuti mereka, dalam usaha
menerokai  ilmu,  mencintai  ilmu pengetahuan, berbahas dan berdebat secara
sihat,  kreatif,  inovatif  serta  mempunyai  komitmen  yang tidak berbelah
bahagi,  kepada  amanah dan tanggungjawab yang dipikul dalam merealisasikan
budaya akademia di dalam kampus, mahupun di kalangan masyarakat.
     Budaya  akademia   menolak  gossip  kedai  kopi  sebagai sumber berita
apatah  lagi  untuk  menggunakannya  sebagai  bahan  perbincangan. Aktiviti
sedemikian  menjejaskan  kredibiliti  akademik  yang disandang kerana fakta
yang  sering  meragukan,  berlaku  tokok  tambah dan mengancam persekitaran
kondusif dalam budaya akademia yang ada.
     Saya  menyuarakan  pandangan  ini  dengan  agak  keras  kerana bimbang
terhadap terhakisnya idealisme universiti yang ingin kita pertahankan. Saya
mula  bimbang  dengan pengaruh gossip tidak menentu dan kecenderungan ramai
orang  untuk  membuang  masa dengan aktiviti yang boleh menimbulkan suasana
tidak selesa di kalangan komuniti ilmu yang ada.
     Kita mempunyai banyak tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
Kualiti  akademik  pelajar, masih terus diperkatakan orang.  Sebagai tempat
melahirkan  generasi  dan pekerja ilmu untuk masa depan negara, kebimbangan
ini  harus dilihat dengan positif dan ditangani dengan proaktif. Kita tidak
boleh  lagi  terus  menyanyikan  lagu  "bangau  oh  bangau" yang hanya tahu
menyalahkan orang lain. Setiap kita ada peranan yang mesti dimainkan dengan
berkesan.
     Jangan   remehkan   masalah  pelajar.  Jangan  lepas  tangan  terhadap
pencapaian  pelajar yang dikatakan tidak mencapai tahap yang kita inginkan.
Ini  bukannya  isu  baru. Jika kita sayangkan bangsa dan negara, ini adalah
tugas  berat  yang  mesti  diselesaikan,  ataupun paling tidak dikurangkan.
Menyalahkan pelajar semata-mata tentunya tidak kena.  Saya memandang serius
hal  ini, walaupun ramai yang menganggapnya sebagai isu bermusim. USM tidak
pernah  beranggapan  sedemikian.  Kualiti pelajar adalah isu yang ditangani
secara  berterusan.   Kita sedang membaiki kekurangan yang ada dalam sistem
yang  ada. Sistem penasihat pelajar, sistem mentor dan lain-lain lagi harus
terus diperkemaskan.  Para pensyarah harus menganggap bahawa pelajar adalah
pelanggannya  yang  terpenting  dalam  melaksanakan tugasnya.  Meninggalkan
tugas  hakiki  dan  melakukan  hal-hal lain dengan mengenepikan amanah ini,
adalah perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab.
     Menganggap  pelajar  sebagai  pelanggan utama bermakna, para pensyarah
harus  mencari  jalan  terbaik  untuk membantu mereka. Ketua-ketua jabatan,
termasuk  dekan, harus memantau setiap strategi yang dilaksanakan.  Perkara
seperti   itulah    yang   saya   katakan   kebebasan,   tetapi  perlu  ada
pertanggungjawaban  ini.   Para  pensyarah bebas melakukan apa sahaja dalam
lingkungan tugasnya, tanpa mengenepikan tanggungjawab asas yang ada.
     Di   samping   itu,  kita  turut  memikul  tanggungjawab  besar  untuk
membangunkan   masyarakat   secara  keseluruhannya  melalui  idea-idea  dan
kerja-kerja  penyelidikan  yang  dibuat.  Tugas  ini  berat,  tetapi inilah
hakikat  dunia  akademik  atau  akademia  sebenar. Kita telah memilih untuk
memasuki  dan  menerokai  dunia  akademik  ini  dengan rela hati, jadi kita
mestilah pula sanggup untuk menghadapi cabaran-cabarannya.
Pemajuan Penyelidikan
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
     Izinkan  saya  untuk  meneruskan  perutusan ini dengan menumpukan pula
kepada  kegiatan  Penyelidikan  dan  Pembangunan  (R & D) kita sebagai nadi
universiti   dalam   memastikan   idealisme   dan   tanggungjawabnya  terus
terpelihara.     Menjelang    tahun    2020    nanti,   negara   memerlukan
sekurang-kurangnya  3000  saintis  penyelidik  untuk  setiap  sejuta  orang
penduduk.     USM   perlu   perkukuhkan   pencapaian  saintifik  kita  bagi
memantapkan sains fizikal keseluruhannya.
     Pada  tahun lalu, saya telah menggariskan keperluan yang kita inginkan
daripada  setiap ahli akademik kita yang perlu diteruskan.  Saudara-saudari
perlu mempunyai sekurang-kurangnya satu geran penyelidikan dan menghasilkan
kertas penyelidikan yang tertentu sebagai sebahagian daripada sasaran kerja
tahunan mereka.
     USM  akan  terus  melipatgandakan usaha-usaha  R & D ini.  Enam bidang
telah  kita kenalpasti untuk dimantapkan iaitu "Advance Manufacturing", "IT
dan  Mikroelektronik", Bahan Termaju, Kuasa, Bioteknologi dan Persekitaran.
Kita   juga   ingin  mewujudkan  budaya  penyelidikan  yang  lebih  meluas.
Antara indikator yang digunakan untuk mengukur keberkesanan kerja R & D ini
meliputi  bilangan  yang  ada  dalam  kepimpinan  penyelidikan tempatan dan
antarabangsa,  jumlah  anugerah  (award)   dan pengiktirafan yang diterima,
jumlah  dana  dan  geran yang diperolehi, bilangan penulisan yang diiktiraf
dan  diterima  pakai  di peringkat tempatan dan antarabangsa serta bilangan
dan kualiti siswazah ijazah tinggi yang dihasilkan.
     Saya  sedar dan memahami banyak masalah dan rungutan yang dibuat dalam
usaha   kita  untuk  membudayakan  penyelidikan  ini.  Kerja-kerja  promosi
dianggap  tidak berkesan. Pemasaran dianggap tidak dilakukan secara meluas.
Masalah  red-tape  dalam  pentadbiran penyelidikan dan berbagai-bagai lagi.
Kita  memandang  serius  semua  teguran  dan  pandangan  yang  diberi. Kita
beriltizam untuk memperkukuhkan budaya penyelidikan di USM.
     Justru  itu, saya pada hari ini, secara rasminya mengisytiharkan tahun
2000   ini   sebagai   Tahun   Penyelidikan   USM.    USM   akan   berusaha
bersungguh-sungguh  untuk  menyuburkan  minat  terhadap penyelidikan dengan
lebih   berkesan.  Kita  akan  adakan  anugerah-anugerah  tertentu  sebagai
dorongan.   Peraturan   dan   prosedur   yang   ada   akan   dipermudahkan.
Latihan-latihan  dan  kursus  penulisan  laporan  penyelidikan  yang  lebih
berkualiti   akan  dibuat  secara  berterusan.  Begitu  juga  dengan  usaha
menyampaikan  maklumat-maklumat  yang berkaitan dengan penyelidikan melalui
laman web khusus dan lain-lain lagi..
     Antara usaha yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini, meliputi:
-     Mengimplimentasi  struktur  organisasi  penyelidikan  yang baru, yang
meliputi   Majlis   Penyelidikan   Universiti,   Jawatankuasa  Penyelidikan
Universiti,   Jawatankuasa   Sains   dan  Jawatankuasa  Penyelidikan  Pusat
Pengajian;
-      Mewujudkan  Timbalan  Dekan  Kedua  yang  bertanggungjawab  ke  atas
penyelidikan;
-      Sessi  dialog  tertentu  untuk  membincangkan  strategi  pembudayaan
penyelidikan secara menyeluruh;
-    bengkel-bengkel penyelidikan untuk staf baru dan lama;
-     mengaktifkan  jawatankuasa penyelidikan di pusat-pusat pengajian agar
memainkan peranan sebagai pemudahcara dan menyemai budaya penyelidikan;
-     memantapkan  Bahagian  R  &  D  sebagai  pakar dan pemudahcara proses
permohonan Geran IRPA dan geran luar;
-    meneliti dan menkaji semula semua pusat kecemerlangan penyelidikan;
-      melaksanakan   simposium-simposium   khusus   melalui   jawatankuasa
penyelidikan di pusat-pusat pengajian;
-    mengadakan konvensyen penyelidikan;
-    mengambil bahagian dalam ekspo penyelidikan tempatan dan antarabangsa;
-     mempromosikan  kekuatan  penyelidikan untuk menarik lebih ramai calon
siswazah; dan
-      mengintegrasikan  proses  penyelidikan,  penerbitan  dan  pengajaran
sebagai  suatu  aktiviti  yang  berkesinambungan  dengan  menjadikan  hasil
penyelidikan sebagai penerbitan serta input pengajaran.
     Kita  akan  berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan bidang-bidang
kekuatan atau niche areas kita mampu untuk terus bertahan.  Untuk itu, saya
ingin  menegaskan  lagi, agar para penyelidik yang senior perlu menyediakan
barisan  pelapis  yang  terdiri  daripada  penyelidik muda untuk meneruskan
kerja-kerja yang dilakukan pada masa depan.
     Tidak  ada  yang  akan  kekal  di  sini.   Pemimpin  datang dan pergi.
Semuanya  silih  berganti.   Itu  adalah  hukum  kehidupan.  Tidak ada yang
"indispensable".  Malah tidak ada yang sebenar-benarnya ?personal to holder
?. Kerana itu, adalah wajar hal ini diberikan perhatian yang serius.
     Jangan  terlalu  emosional  dan  memberikan gambaran seolah-olah, kita
harus  kekal  kerana  kepakaran  itu  hanya  ada pada kita seorang.  Jangan
terlalu pentingkan diri.  Kita telahpun melalui masa yang panjang.  Berilah
pula  peluang kepada anak-anak muda yang akan menjadi pewaris kepakaran dan
perjuangan  kita.   Kita  masih  boleh meneruskan usaha kita, tetapi dengan
mengikut  batasan-batasan yang ada. Untuk tujuan yang sama juga, saya ingin
memaklumkan bahawa pada tahun ini juga kita akan mewujudkan kluster-kluster
dalam  kumpulan-kumpulan  penyelidikan untuk mewujudkan sinergi di kalangan
mereka.  Amalan-amalan di negara-negara lain menunjukkan bahawa pembentukan
kluster penyelidikan yang dipimpin oleh penyelidik senior dengan dianggotai
oleh  para  penyelidik  lain  akan mampu melahirkan baris pelapis pada masa
depan.
     Usaha-usaha  yang  kita lakukan selama ini pula akan diteruskan.  Para
pensyarah  harus  berusaha mendapatkan geran-geran penyelidikan yang banyak
terdapat  di  sekeliling  kita, menghadiri persidangan-persidangan tempatan
dan  antarabangsa  untuk  mendapat  pendedahan  dan  pada  masa  yang  sama
membentangkan   hasil   penyelidikan   serta    mengetengahkan  hasil-hasil
penyelidikan  yang  lebih berkualiti untuk bersaing dengan rakan-rakan lain
di seluruh dunia.  Cara penulisan laporan dan persembahan harus dimantapkan
untuk  meyakinkan  khalayak terhadap apa yang dihasilkan. Para pensyarah di
kalangan  generasi  muda,  perlu melihat hal ini dengan serius dan berusaha
untuk menguasainya.
     Saya  kemukakan  semua  ini dengan satu hasrat, iaitu untuk memastikan
profesionalisme   ahli-ahli   akademik  dan  budaya  akademia  dapat  terus
dimantapkan.   Idealisme  universiti  harus  kembali  ke  tempatnya  dengan
meningkatkan kualiti kerja para akademia kita.
 

Pembangunan Pelajar

Saudara-saudari yang dikasihi sekalian,
     Satu  lagi perkara yang sangat penting dan mendapat perhatian pelbagai
pihak   sekarang  ialah  peranan  pelajar  dan  usaha  untuk  mengembalikan
kegemilangan  kepimpinan  pelajar  seperti  yang  pernah dilalui pada dekad
60-an  dan  70-an  dahulu.   Pelbagai pendapat telah dilontarkan.  Ada yang
positif  dan  banyak  pula  yang melahirkan rasa bimbang.  Pemerhatian saya
sepanjang  tahun  lalu  misalnya,  dapat  menggambarkan kedangkalan pelajar
dalam  menerokai isu-isu yang diketengahkan.  Sikap dolak dalik, percayakan
khabar angin, bermain dengan pelbagai isu yang membimbangkan, bersikap agak
keterlaluan  dan  pelbagai  lagi  memberikan  gambaran seolah-oleh pemimpin
pelajar kian hilang arah.
     Namun  begitu, saya gembira kerana mereka prihatin dan sensitif dengan
isu-isu  yang  diutarakan,  walaupun  caranya  agak  keras.   Hal ini harus
dilihat  sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran yang berguna untuk
para pelajar sekalian.
     Saya  juga  berbangga kerana pada masa yang sama, ada di kalangan para
pelajar   yang   terus   berusaha  melaksanakan  projek-projek  yang  dapat
meningkatkan  sahsiah  diri  dan  menerokai  peluang-peluang  untuk menimba
pengalaman  hatta  hingga  ke luar negara.  Kegiatan-kegiatan sukan, budaya
dan khidmat sosial  kita juga mencapai tahap yang turut membanggakan.
     Saya   ingin   menegaskan  bahawa,  Universiti  tidak  pernah  menolak
bulat-bulat pandangan  pelajar dalam apa isu juapun.  Namun, sebagai sebuah
organisasi,   ada  kalanya  kita  perlu  melakukan  tindakan-tindakan  yang
tertentu  demi  kemashlahatan  komuniti  pelajar dan universiti seluruhnya.
Kita  berusaha  melakukan  kajian  yang  teliti  dan/atau  mengadakan  siri
perbincangan sebelum melaksanakan sesuatu dasar.
     Ini  sama  jugalah  keadaannya yang berlaku dalam sebuah keluarga yang
besar.   Ada  ketikanya ibu bapa mengambil langkah-langkah rigid yang tidak
disenangi  anggota  keluarga  yang  lain untuk kesejahteraan dan masa depan
keluarga.  Pada  waktu  yang  lain,  mereka dapat pula berkompromi terhadap
sesuatu yang dapat membawa kepada  kebaikan bersama.
     Dalam  keadaan  sebegini,  setiap  anggota  keluarga perlu menghormati
kedudukan  ibu  bapa  kerana  mereka  melihat  dari sudut yang luas sebelum
membuat  keputusan,  terutamanya  yang  berasaskan  kepada  pengetahuan dan
pengalaman yang dilalui. Tanggapan- nya mungkin berbeza.
     Tentulah  amat tidak sopan jika ada di kalangan anak-anak yang menepuk
meja  tatkala  berbincang dengan ibu bapa. Lebih tidak sopan lagi, jika ada
anak-anak  yang  meninggalkan  perbincangan  dan  menolak  sesuatu pendapat
semata-mata  kerana  bimbang  hilang  pengaruh di kalangan kawan-kawan yang
lain atau kerana tekanan dan desakan rakan sebaya.
     Para   mahasiswa   harus   berfikir   dengan   tenang   dan  rasional.
Saudara-saudari akan menjadi ibu bapa, pada suatu hari kelak.  Jangan hanya
fikirkan  segelintir  orang,  tetapi  fikirkanlah untuk keseluruhan anggota
keluarga, mahupun organisasi serta  keperluan masyarakat seluruhnya.  Dalam
membuat    pertimbangan-pertimbangan    sedemikan,   kepentingan   peribadi
semata-mata harus diketepikan.  Ada ketikanya, anak-anak perlu menyesuaikan
diri  dengan  keputusan  yang dibuat oleh ibu bapa dan berusaha membaikinya
dengan  idea-idea  yang lebih bernas bukannya menolak bulat-bulat idea yang
dikemukakan.
     Mahasiswa  generasi  sekarang  ini,  majoritinya membesar dalam segala
kemudahan  dan kesenangan.  Kesusahan bagi saudara-saudari hanyalah tatkala
biasiswa  atau  pinjaman  lambat  masuk  ataupun  terpaksa berjalan kaki ke
kuliah.
     Baik  yang  datang  dari  kampung,  mahupun  dari bandar, nikmat hasil
daripada kemerdekaan dan pembangunan negara sukar untuk dinafikan.
     Di    sini,    saudara-saudari    mula    menemui   makna   idealisme.
Saudara-saudari  mula  mengenal  kebebasan  dan cuba membangunkan keyakinan
diri.   Itupun,  kerapkalinya  goyah, kerana kurang memahami maksud sebenar
sesuatu  yang  terjadi.   Seringkali  juga, saudara-saudari melihat sesuatu
perkara   itu   dari  sudut  tertentu  sahaja.   Kalau  kita  lihat  kepada
laman-laman  web  yang dihasilkan oleh mereka yang mendakwa sebagai pelajar
IPT,  banyak  luahan-luahan  yang  lebih  bersifat  prasangka  dan semangat
perjuangan yang tidak jelas justru dipengaruhi oleh sesuatu.
     Saya  selalu  mengharapkan,  agar universiti dapat menjadi medan untuk
menajamkan  minda  dengan memberikan ruang kepada saudara-saudari menerokai
sesuatu  dengan  terbuka  dan  bersifat  akademik.   Saudara-saudari  dapat
mengupas sesuatu berasaskan fakta dan maklumat sebenar, bukannya berasaskan
kenyataan-kenyataan  mereka  yang  mempunyai  kepentingan  tertentu, gossip
kedai  kopi,  atau  khabar angin yang disebar melalui internet tanpa sumber
yang jelas.
     Saudara-saudari  sepatutnya  mampu  melihat  sesuatu  dengan objektif,
tidak  hanya  dikuasai  emosi  anak  muda  dengan  darah  panas  yang tiada
sudahnya.  Saya faham gejolak rasa saudara-saudari.  Kami semua juga pernah
melalui  zaman  yang  sama.   Percayalah,  saudara-saudari  kelak juga akan
mengatakan    perkara   yang   sama   kepada   adik-adik   atau   anak-anak
saudara-saudari nanti.
     Saya  meminta  agar  hal  ini segera diperbetulkan.  Siasatlah sesuatu
berita  dengan  sempurna  sebelum  membuat kesimpulan-kesimpulan yang boleh
menimbulkan  perasaan  bimbang  orang lain.  Bermusyawarahlah dengan tertib
dan penuh adab budaya.  Bersyukurlah dengan segala apa yang ada.
     Percayalah  bahawa  dalam  hidup  kita,  ada ketikanya kita tidak akan
mendapat  semua  yang  kita  inginkan. Tetapi dengan apa yang ada sekarang,
kita  sebenarnya  jauh  lebih  baik  daripada  orang  lain.  Kerana itulah,
janganlah   menimbulkan   hal-hal  yang  boleh  menimbulkan  kesusahan  dan
keresahan  kepada  diri  sendiri  mahupun orang lain. Bersikap prihatin dan
tanamkan perasaan kasih sayang tanpa syarat, dengan ikhlas dan dengan penuh
semangat ukhwah.
 

Isu-isu Pelajar

Saudara-saudari sekalian,
Saya ingin mengajak saudara-saudari untuk memikirkan lima isu  utama  untuk
kecemerlangan kepimpinan pelajar pada masa depan:
-      Pertama,   bagaimanakah   cara   yang  terbaik  untuk  mengembalikan
kegemilangan  kepimpinan  pelajar  pada  era  60an dan 70an dahulu?  Antara
sebab  utama,  mereka dahulu berjaya mengupas isu-isu sosial dengan jayanya
ialah  kerana  mereka  memahami  masalah yang dihadapi. Mereka ikhlas dalam
mengutarakan  pandangan tanpa pengaruh-pengaruh tertentu, termasuk daripada
politik  berparti.   Mereka  mempunyai pendirian dan berpegang teguh kepada
prinsip   yang  diyakini.  Mereka  tidak  berdolak-dalik  dengan  hari  ini
bersetuju  dan  esok  tidak,  terhadap  sesuatu isu yang sama.  Saya fikir,
saudara-saudari juga boleh mengembalikan kegemilangan p
   "...bagaimanakah  para  pemimpin  pelajar  dapat  bersama-sama memainkan
peranan untuk melahirkan siswazah yang cemerlang?..."
-    elajar dengan nafas baru yang segar  dalam era abad baru ini.
-     Kedua,  bagaimanakah  kita dapat menjadikan kampus universiti sebagai
medan  untuk memupuk nasionalisme iaitu semangat cintakan bangsa dan negara
serta   mewujudkan   perpaduan   tulen  di  kalangan  pelajar?   Universiti
ditubuhkan  hasil  daripada  perjuangan  rakyat  bernatijahkan  pembangunan
masyarakat  dan  negara.   Universiti  ditubuhkan  oleh  para  pejuang yang
cintakan  negara  dan  bangsanya. Kita ingin melihat, suburnya semangat ini
yang  berteraskan  kepada agama dan akar budaya kita. Kita inginkan supaya,
dalam keadaan apa juapun, kita akan mempertahankan tanah air dan masyarakat
ini  dengan  semangat  yang  tidak berbelah bahagi.  Kegiatan-kegiatan yang
dapat  menaikkan  semangat  cintakan  negara  harus dilakukan oleh sama ada
persatuan  pelajar  mahupun  pihak-pihak  lain  yang bertanggungjawab. Kita
inginkan  agar  para pelajar dapat membezakan di antara semangat perjuangan
yang tulen bagi menzahirkan perasaan cintakan  tanah airnya dengan semangat
untuk memenuhi kepentingan pihak yang tertentu.
-     Ketiga,  bagaimanakah  caranya  untuk kita membentuk pemimpin pelajar
yang  berfikiran  rasional dan terbuka? Dalam kita mempertahankan idealisme
universiti,  para  pelajar  perlu  rasional dan terbuka, tahu membezakan di
antara   keperluan  peribadi  dengan  keperluan  masyarakat  serta   secara
majoriti  menolak  fahaman sempit dan taksub membuta-tuli.  Mahasiswa harus
peka  dengan  masalah  sosial, dengan melihatnya secara rasional dari semua
sudut,  bersikap  terbuka dan bukan berasaskan emosi semata-mata. Mahasiswa
tidak  patut  terjebak mengikut emosi mereka yang hanya mempergunakan darah
muda yang berfikiran ideal.
     Sikap ideal haruslah diimbangi dengan realiti. Saya fikir, ini penting
untuk  masa  depan  para  pelajar  sendiri.  Bersikap  ideal  di universiti
barangkali  boleh  diterima dan dianggap wajar, tetapi pemikiran yang sama,
sukar  untuk  dikekalkan  tatkala  berada di alam pekerjaan. Ramai siswazah
kita  yang  mengakui  bahawa,  apa yang difikir betul ketika di universiti,
hanya  ilusi tatkala sudah berada dalam masyarakat sebenar. Cabaran di luar
sana,  rupanya amat berbeza kerana ada pertimbangan-pertimbangan yang lebih
utama yang perlu dilihat sebelum membuat sebarang dakwaan.
-      Keempat,  bagaimanakah  para  pemimpin  pelajar  dapat  bersama-sama
memainkan  peranan untuk melahirkan siswazah yang cemerlang?. Saya percaya,
di  samping sensitif dengan isu sosial, amat wajar sekali pemimpin-pemimpin
pelajar  juga  melihat  isu  kecemerlangan  pelajar  dengan  lebih  serius.
Tentunya  mahasiswa  sendiri   lebih  memahami  masalah sebenar yang mereka
hadapi.  Kenapa tidak diusahakan, aktiviti-aktiviti yang mampu meningkatkan
kecemerlangan  pelajar  dari semua sudut, terutamanya akademik?  Universiti
sentiasa  akan  bekerjasama  dan  membantu  apa  yang  boleh  untuk  tujuan
tersebut.  Kita  memerlukan  idea-idea  yang  bernas daripada pelajar untuk
menangani   isu-isu   yang   berkaitan.   Setakat   ini,   belum  ada  lagi
cadangan-cadangan  yang  sedemikian  kerana  mungkin, saudara-saudari fikir
ianya adalah masalah universiti sahaja.
-    Hormati adab budaya dan pertahankan jati diri. Salah satu cabaran kita
adalah  dalam  memastikan  kita  dapat  mengekalkan  jati diri, akhlak yang
tinggi,  berbudaya  mulia serta amalan agama yang utuh.  Saudara-saudarilah
yang  bakal  mewarnai  masyarakat kita kelak.  Hormatilah kepada yang lebih
tua.  Sayangilah  kepada  yang  lebih  muda.  Jadilah  insan yang berakhlak
terpuji,  mempunyai  daya  ketahanan diri yang tidak mudah dilunturkan oleh
wang ringgit dan keseronokan yang keterlaluan.
     Agama  menjadi benteng pertahanan yang paling berguna. Namun janganlah
membuat interpretasi fahaman agama secara mudah berasaskan ilmu yang cetek.
Jangan   terlalu   percayakan   kepada   label-label   yang   sesetengahnya
bertopengkan interpretasi agama.
     Pada  masa  yang  sama, jika kita melaksanakan agama mengikut apa yang
kita  yakini, jagalah segala tertibnya. Janganlah kerana kesilapan tindakan
kita, maka orang lain membuat penilaian terhadap agama secara yang salah.
     Agama   menekankan   kepada   kualiti  hidup,  kualiti  diri,  kualiti
kepimpinan  dan  lain-lain  lagi.  Belajarlah  dengan guru yang benar-benar
ikhlas dalam menyampaikan ajaran agama, iaitu di kalangan mereka yang tidak
mempunyai kepentingan lain, selain daripada ikhlas terhadap agamanya.
     Saya  juga  ingin  menasihatkan  agar pertahankan keharmonian kaum dan
toleransi  agama  yang  ada  di  negara  kita,  bermula  dari dalam kampus.
Lihatlah kekacauan dan kemusnahan yang berlaku di negara jiran dan beberapa
negara  lain.  Insafilah,  bahawa  sedikit kesilapan yang kita  buat akibat
ketaksuban  dan  membuat  interpretasi  sesuatu  dengan dangkal, akan hanya
memusnahkan seluruh tamadun bangsa dan negara yang ada.
     Pelajar   hari   ini,   adalah   bakal   pemimpin   pada  masa  depan.
Saudara-saudari menjadi tenaga yang akan membangunkan masyarakat dan negara
pada masa depan.
     Mulakanlah    dari  sekarang untuk menanamkan nilai-nilai murni, tanpa
prasangka,  objektif  dan bertanggungjawab dalam kehidupan.  Mahasiswa hari
ini  mestilah  belajar  untuk  menjadi  "knowledge-  based human resource",
sentiasa  peka  kepada  perubahan-perubahan  teknologi  yang  berlaku dalam
masyarakat  dan  berfikir secara global, apatah lagi dengan wujudnya konsep
perkampungan global atau "a global village" dan dunia tanpa sempadan atau "
borderless  world"  yang  membawa  bersamanya kesan positif mahupun negatif
yang perlu ditangkis dengan kekentalan pertahanan diri atau iman yang utuh.
 

Kualiti dan Kecemerlangan

Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian,
     Saya  ingin menarik perhatian saudara-saudari dari semua kumpulan staf
kepada  tiga  persoalan  kualiti  untuk  difikir  dan diambil tindakan yang
sewajarnya:
1)   Kualiti dan kecemerlangan akademik dan pentadbiran: Apakah usaha-usaha
kita  untuk  meningkatkan  lagi  kualiti  dan  kecemerlangan  akademik  dan
pentadbiran?  Sejauh  manakah  telah berjaya kita semai dan serapkan budaya
kerja cemerlang di kalangan setiap warga USM?

2)    Kualiti  dan  kecemerlangan  pelajar:  Apakah  usaha-usaha yang boleh
dilakukan   untuk   meningkatkan  kualiti,  ketrampilan  dan  kecemerlangan
pelajar?
3)    Kualiti  dan  kecemerlangan  penyelidikan:  Apakah  usaha-usaha  yang
dilakukan  untuk meningkatkan kualiti penyelidikan, pada peringkat tempatan
mahupun  antarabangsa?  Berapa  banyak  kertas  kerja dan laporan yang kita
hasilkan serta diiktiraf pada peringkat tempatan dan dunia?
 

Cabaran-cabaran

Saudara-saudari sekalian,
     Kita  sekarang  berada  di  abad baru. Abad baru bagi sesetengah orang
hanyalah  satu  perjalanan masa. Apapun jua, abad baru ini sebenarnya telah
membawa  kita jauh daripada apa yang terjangkau di fikiran kita, katakanlah
30  tahun yang lalu. Cabaran-cabaran yang ada memerlukan kita merancang dan
melaksanakan strategi yang berkesan untuk terus ke hadapan.
     Dalam  konteks  ini,  enam  isu  ingin  saya utarakan untuk difikirkan
bersama  oleh  seluruh  masyarakat  kampus,  para pensyarah, pentadbir dari
semua kumpulan mahupun pelajar iaitu:
1)    Globalisasi  ilmu & pembangunan teknologi: Globalisasi ada kesan baik
dan  buruknya,  bergantung dari sudut mana kita melihatnya Globalisasi ilmu
mempunyai  banyak cabarannya. Kita perlu bergerak lebih pantas, kreatif dan
inovatif.  Kita  perlu hadapi persaingan dengan yakin dan berani. Kita juga
perlu  kuasai  teknologi  agar  tidak  mudah  ketinggalan daripada apa yang
berlaku  di  seluruh  pelosok  dunia. Perhubungan kini menjadi lebih mudah,
murah  dan  pantas,  tanpa  sempadan.  Keputusan dalam sesuatu urusan perlu
dibuat  dengan  bijaksana  dengan  mengurangkan  segala  karenah birokrasi.
Soalnya   ialah,   bagaimana   kita  mempersiapkan  diri  menyongsong  arus
globalisasi  ini,  atau  lebih  baik  lagi menguasainya dalam bidang-bidang
kekuatan kita?
2)    Sikap  &  profesionalisme:   Cabaran kita ialah untuk mempunyai sikap
yang  sikap  yang  betul  terhadap  amanah  dan tanggungjawab yang dipikul,
sentiasa  telus  dan  memantapkan  profesionalisme kita. Kita perlu bezakan
antara yang benar dengan yang batil secara objektif.
3)    Mengekalkan  jati diri dan akar budaya bangsa: Siapapun kita, sehebat
manapun  ilmu  yang ada, kita masih perlu mempertahankan jati diri dan tata
susila  yang  ada.   Kita perlu terapkannya dalam setiap kemajuan yang kita
cipta.  Nilai-nilai murni seperti menghormati kedudukan pemimpin dan ketua,
menyayangi  mereka  yang dipimpin, menjaga maruah individu, bertolak ansur,
tidak  berprasangka buruk, terus menyemai nilai ukhwah/persaudaraan,  serta
sentiasa kerja berpasukan. Ianya menjadi benteng daripada mudah dipengaruhi
oleh    anasir-ansir    yang    memecahbelahkan,   jatuh   menjatuh   serga
kegiatan-kegiatan  yang  menggugat  tertib  bangsa,  budaya dan kepercayaan
agama.
4)    Menyesuaikan  idealisme  dengan kenyataan:  Berdirilah atas kenyataan
sebenar.   Idealisme yang didokong harus diadunkan dengan realiti yang ada.
Seperti  saya  katakan  awal  tadi, di mana bumi dipijak, di situlah langit
dijunjung.
5)    Dana  dan  kewangan:   Kita  harus  berusaha  gigih  untuk menjayakan
pengkorporatan  dan  syarikat  yang  kita tubuhkan. kita perlukan kerjasama
semua  pihak, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi dan komitmen yang tinggi
untuk  mendapatkan  dana selain daripada yang disalurkan oleh negara.  Kita
perlukannya  untuk  menyediakan  prasarana  yang  lebih  baik  kepada warga
universiti.  Kerana  itu  juga, di samping berusaha menjana dari usaha yang
dibuat, kita perlu terus berjimat.
6)   Pembangunan sahsiah  dan kecemerlangan pelajar:  Saya fikir, ini masih
menjadi  cabaran  dan  agenda besar kita. Saya mahasiswa lebih memahami apa
yang  kita  lakukan  di  sini.  Saya  mahu  supaya  mahasiswa kita prihatin
terhadap  pembangunan   akademik  dan  universiti,  pembangunan  negara dan
masyarakat,   dan  sentiasa  berusaha  meningkatkan  kualiti  diri  melalui
kecemerlangan  akademik dan ketinggian sahsiah.  Saudara-saudari harus ikut
bersama-sama arus perdana, dalam membawa negara dan ummah ke mercu kejayaan
dengan  penuh hikmah dan bijaksana. Kini telah tiba masanya, pada abad baru
ini,   para  pelajar  ikut  sama menjayakan pembangunan diri dan masyarakat
secara tuntas.
 

Penutup

Saudara-saudari sekalian
     Marilah kita berganding bahu, kerja berpasukan untuk berjaya pada masa
hadapan.   Saya   juga ingin menyeru agar kita semua berpegang teguh kepada
kepercayaan agama sebagai sumber kekuatan pada masa depan.  Islam misalnya,
telahpun  menyediakan garis panduan yang jelas untuk kita mencapai kejayaan
yang  seimbang,  sekarang  mahupun  mahupun  masa  depan,  di dunia mahupun
akhirat.  Kita percaya bahawa, Allah s.w.t  menjadi saksi atas apa jua yang
kita  lakukan.  Islam  menyuruh  kita  berbuat  baik  dan meninggalkan yang
mungkar. Islam menegah kita daripada bermusuh- musuhan. Islam juga mengajar
tentang kesatuan dan kesepaduan adab dan sopan, yang  muda menghormati yang
tua, manakala yang tua mengasihi yang muda.
     Agama  mengajar  kita bahawa ilmu yang kita miliki adalah pinjaman dan
harus digunakan untuk kebaikan ummah, bukannya mendabik dada mencari kuasa.
Ilmu  pengetahuan  yang  ada  mesti  dimajukan, diterokai dan digali segala
hikmahnya.  Malah,  sejak  awal-awal  sejarahnya  lagi,  Islam amat menitik
beratkan soal mencari ilmu seperti yang dinyatakan di dalam kitab Al-Quran.
     Begitu  jugalah disiplin dalam menjalankan tugas seharian. Agama telah
meletakkan  garis  panduan  yang  jelas  terhadap konsep ibadah, amanah dan
tanggung jawab.
     Islam  juga  sangat menitik beratkan, agar setiap kita mempunyai sikap
yang  betul  terhadap  kerjaya yang dibuat. Niat mesti betul. Caranya perlu
menepati  syariat  dan  natijahnya juga harus untuk kebaikan umat.   Dengan
kesedaran  ini,  kita  akan  lebih  prihatin  dan  sedar  betapa kita perlu
mengekalkan sifat ikhlas dan tawaddhuk dalam usaha kita seharian.
     Sebagai   hamba   Allah,  jagalah  amanah  yang  dipikul,  kerana  Dia
mengetahui  apa  yang ada di hati kita biarpun kita boleh menyembunyikannya
daripada  orang  lain.  Baikilah  segala yang kurang dan mantapkan kekuatan
yang  dianugerahkan  Tuhan.  Saripati  perkara-perkara  ini, terdapat dalam
amalan agama lain yang mesti dipatuhi oleh setiap penganutnya.
     Saya ingin mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan setinggi-tinggi
penghargaan atas kesabaran saudara-saudari mengikuti perutusan ini.
     Saya  juga  ingin  menyampaikan  penghargaan saya kepada seluruh warga
kampus,   baik  pensyarah,  pelajar  mahupun  pentadbir  daripada  kumpulan
kumpulan pengurusan yang terus memberikan komitmen terhadap pembangunan USM
selama ini.
     Saya  juga  ingin  memohon  kemaafan jika selama ini, terdapat hal-hal
yang  tidak  menyenangkan  saudara-saudari,  sama  ada  daripada tutur kata
mahupun   keputusan-keputusan   tertentu  yang  dibuat,  yang  sesungguhnya
dilakukan demi untuk pembangunan universiti ini.
     Seperti saudara-saudari juga, saya amat cintakan Menara Ilmu ini. Saya
inginkan,  agar  suatu waktu kelak, saya akan menyaksikan nama USM terpahat
sebagai  antara  IPT  yang  tersohor  di dunia. Itulah impian saya dan saya
percaya, itu jugalah impian saudara-saudari semua.
     Saya  turut menyampaikan penghargaan saya kepada semua yang menjayakan
majlis  kita  pada  pagi ini. Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan
Batin.  Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.

Terima kasih.